Tahniah kepada Sinar Harian kerana berjaya menganjurkan perdebatan di antara Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, dan pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli.
Ketika debat berlangsung, tidak berlaku pergaduhan. Tidak ada yang terbunuh. Tiada kerusi terbang di dewan di mana perdebatan berlangsung walaupun penyokong kedua-dua pihak ada disitu.
Moderator yang dipilih oleh Sinar Harian, Dr Maszlee Malik, memainkan peranan beliau dengan baik. Adil kepada dua-dua pihak.
Ini adalah bukti Malaysia tidak mempunyai apa-apa masalah untuk berhadapan dengan demokrasi.
Patahlah hujah golongan ekstremis garis keras dalam Umno bahawa debat terbuka menyebabkan huru hara berlaku.
Sekarang tiada lagi alasan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menolak pelawaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat.
Seperti yang dikatakan oleh Dr Maszlee Malik, rakyat Malaysia kini menantikan debat diantara PM dan Ketua Pembangkang.
Cabaran dilontarkan oleh moderator itu agar Najib dan Anwar berdebat. Sinar Harian bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada debat tersebut.
Debat bukan untuk menang-kalah
Mungkin ketakutan utama Najib dan pemimpin Barisan Nasional (BN) lain adalah kehebatan Anwar Ibrahim berpidato.
Memang benar kehebatan mantan timbalan perdana menteri itu dalam berpidato dan berkata-kata luar biasa.
Akan tetapi, perlu difahami bahawa tujuan utama berdebat bukan untuk menentukan siapa kalah dan siapa menang.
Tujuan utama perdebatan dilakukan adalah untuk memberikan input kepada rakyat mengenai dasar dan halatuju BN dan Pakatan Rakyat (PR).
Setelah debat berlaku di antara Najib dan Anwar, rakyat sudah boleh membuat pilihan sama ada mereka lebih yakin dengan BN atau PR.
No comments:
Post a Comment