Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Umno belajar menghormati hak berpolitik dan demokrasi yang dibenarkan di negara ini dengan berhenti melakukan provokasi dan keganasan.
Berucap di hadapan kira-kira 5,000 orang di perkarangan pejabat PAS Maran di sini malam tadi, Ketua Pembangkang di parlimen itu berkata, kini wujud senario baru di mana pihak Umno atau sekutunya cuba menimbulkan ketegangan dalam setiap program Pakatan Rakyat (PR).
Katanya, kini seperti satu trend Umno sengaja mahu menimbulkan suasana kecoh sedangkan PR hanya menggunakan pentas ceramah bagi menjelaskan fitnah yang sudah ditabur melalui media rasmi kerajaan.
“Hormatilah budaya berpolitik dan prinsip berdemokrasi. Cuba fikir, kita sudah dihentam tiap-tiap malam dalam media yang dikawal kerajaan Umno, kita dibina dan dan dimaki hamun setiap hari, kenapa kita mahu memberi penjelasan di pentas seperti ini juga mahu diganggu? Kita minta Umno hormatilah adab berpolitik,” katanya.
Kurang 20 meter berhampiran ceramah tersebut, Umno turut mengadakan pesta karaoke Cina dengan menguatkan bunyi pembesar suara bagi tujuan mengganggu ceramah tersebut sehingga ke akhir.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang kejadian buruk berlaku hasil kawalan ketat dan berdisiplin petugas-petugas Unit Amal.
Anwar turut menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengajar dan mengawal Umno dan sekutu-sekutunya menghormati undang-undang.
“Seorang pemimpin mesti memelihara undang-undang. Bayangkan dalam ceramah-ceramah kami akhir-akhir ini kami diganggu termasuk dibaling telur dan botol, beberapa minggu lalu kereta saya dirosakkan.
“Datuk Ambiga seorang warganegara profesional boleh diganggu sesuka hati oleh penyokong Umno dan dibiarkan saja tanpa sebarang tindakan. Sebab itu jika Najib tak mampu lagi memelihara undang-undang dan keamanan baiklah turun daripada jawatan kerana gagal memimpin,” tegasnya.
Mengenai pilihan raya umum (PRU) akan datang, Anwar menjelaskan rakyat perlu melihat kehidupan pemimpin-pemimpin Pakatan jika mahu membuat keputusan untuk mengundi parti mana untuk memerintah.
Beliau berkata, dapat dilihat contohnya bagaimana Tuan Guru Nik Aziz yang sudah 22 rahun menjadi Menteri Besar Kelantan tetapi beliau tidak mengambil kesempatan mengumpul kekayaan berbanding pemimpin Umno yang lain.
No comments:
Post a Comment