SIBU, 11 April — Salah sebuah helikopter yang menghantar rombongan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhempas di Dataran Sibu berhampiran Wisma Sanyan di sini kira-kira 2 petang tadi.
Tiada penumpang dalam helikopter ketika kejadian. Helikopter milik Sabah Air itu dipercayai terhempas akibat angin kencang. Menurut Ketua Polis Sibu Shafie Ismail, juruterbang cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan. Helikopter itu, salah satu daripada tiga helikopter yang digunakan untuk membawa rombongan timbalan perdana menteri, ketika kejadian sedang berlepas untuk menuju lapangan terbang Sibu.
Laporan media juga menyebut helikopter itu terhempas beberapa minit selepas Muhyiddin tiba di lokasi yang sama untuk menghadiri satu majlis di hotel berhampiran. Dalam pada itu, Bernama Online memetik Setiausaha Akhbar Muhiyddin, Hafiz Abdul Halim berkata beliau ketika itu sedang berjalan menuju ke RH Hotel, kira-kira 100 meter dari dataran itu terkejut dengan kejadian itu. “Helikopter itu tidak mengalami apa-apa masalah semasa kami berlepas dari Bintangor atau semasa dalam penerbangan. Saya sedang berjalan menuju hotel apabila saya dengar ia terhempas,” kata Hafiz yang sebelum itu menaiki helikopter itu bersama-sama dua pegawai keselamatan. Muhyiddin dan pegawai khas beliau yang menaiki helikopter berasingan turut mendarat di dataran yang sama sebelum kejadian itu. Mereka juga baru pulang dari Bintangor. “Timbalan Perdana Menteri dan rombongannya selamat,” kata Hafiz.
No comments:
Post a Comment