08 January 2011

Jun atau Julai

Ahli parlimen BN Sarawak mendahului senarai wakil rakyat parti yang mengadakan pertemuan empat mata dengan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ahli parlimen berkenan dilihat mula mengisi borang, difahamkan berhubung prestasi pilihan raya umum di kawasan mereka sebelum bertemu dengan perdana menteri sejak jam 9.20 pagi ini.

Ahli parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui bagaimanapun berkata beliau tidak perlu mengisi borang berkenaan.

"Saya sudahpun hafal semua angka tersebut," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, ahli parlimen Alor Gajar yang juga bekas menteri sumber manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn pula berkata, pertemuan ini merupakan satu langkah yang penting.

"Ini kali pertama dalam karier saya bahawa PM bertindak begini sebelum pilihan raya umum," kata ahli parlimen yang telah berkhidmat selama empat penggal itu.

Dalam pada itu pula, ahli parlimen Batang Sadong Nancy Shukri ketika ditemui berkata, perdana menteri secara tidak langsung telah bertanyakan kepadanya mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai tahun ini.

"Dia bertanya kepada kami, apa pandangan kami mengenai projek berimpak tinggi yang boleh membantu kemenangan BN.

"Saya beritahu (Najib) bahawa dia perlu melihat (isu) bekalan air bersih dan memperbaiki jalan raya.

"Sejak tahun 2005, jumlah penduduk Sarawak meningkat sebanyak 25 peratus, tetapi pusat rawatan air masih pada kapasiti 2005.

"Jalan raya juga berlubang di segenap tempat disebabkan oleh (kerja-kerja) pembangunan," katanya lagi.

Tambahnya, isu melibatkan ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak dibangkitkan.

Selain itu, ada di kalangan ahli parlimen yang ditemui enggan mendedahkan mengenai isu yang dibincangkan di antara mereka dengan perdana menteri.

"Saya cuma kata 'hello', dan ucapkan selamat tahun baru kepada Najib. Tiada apa lagi yang saya hendak katakan, kata ahli parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusoff.

Begitu juga ahli parlimen Stampin Yong Khoon Seng yang hanya berkata "ambil gambar saya saja. Tiada komen."

Selain MP Sabah, turut disenaraikan ialah 22 ahli parlimen dari Sabah, Johor dan seterusnya wakil rakyat dari negeri-negeri lain.

Dalam pada itu, ahli parlimen Keningau yang juga timbalan ketua menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pula berkata, perbincangan dengan pemimpin BN itu berkisar kepada pembangunan kawasan parlimen dan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Perbincangan banyak mengenai pembangunan di kawasan dan perdana penteri mahu supaya anggota parlimen sentiasa turun padang.

"Saya juga bersetuju bahawa ini adalah persediaan untuk pilihan raya umum akan datang, walaupun tarikh belum diketahui," katanya yang ditemui selepas pertemuannya dengan Najib.

Sementara itu anggota parlimen Johor Bahru Datuk Seri Shahrir Samad berkata, apa yang dilakukan perdana menteri merupakan satu proses yang baik kerana suasana sekarang sudah berubah.

Jelasnya, ia bukan lagi sistem 'one way traffic' yang menyaksikan anggota parlimen hanya terima arahan dari pihak atasan.

"Pertemuan hanya berkisar kepada perbincangan mengenai apa yang berlaku di peringkat akar umbi, dan kami sebagai wakil rakyat menyampaikan kepada beliau (Najib) tentang segala permasalahan atau strategi yang akan diguna pakai bagi mengekalkan kerusi Parlimen Johor Bahru agar berterusan menjadi milik BN," katanya.

Seorang lagi ahli parlimen dari negeri itu Datuk Nur Jazlan Mohamed pula menyifatkan pertemuan itu sebagai usaha mengemaskini perjalanan yang berlaku di kawasan parlimen.

Ini memandangkan, Najib sendiri sudah pun mengarahkan para pegawainya meninjau di kesemua kawasan tersebut, kata ahli parlimen Pulai itu lagi.

Semalam Najib yang juga pengerusi BN dilaporkan berkata beliau menganggap pertemuan itu sebagai satu transformasi politik seperti dinyatakannya sebelum ini, dan ia juga bertujuan membolehkan beliau mengetahui keadaan setiap kawasan BN.

Bagaimanapun tidak semua pemimpin BN dijangka dapat menghadiri pertemuan itu kerana beberapa orang anggota Parlimen yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri ketika ini berada di luar negara untuk tugasan rasmi. 

Sebelum ini spekulasi berlegar di media dan di kalangan pemerhati politik mengenai kemungkinan pertemuan itu adalah persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada Jun atau Julai, ataupun serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Julai ini

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini