Sehubungan itu Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, matlamat Umno untuk merampas negeri itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak munasabah berdasarkan kemampuan parti berkenaan meyakinkan rakyat bagi melakukan perubahan kerajaan.
Menurutnya, Umno perlu lebih banyak belajar dan mencari isu-isu besar yang lebih dekat dengan rakyat jika mahu merampas negeri itu daripada PAS yang sudah memerintah selama 20 tahun.
"Tak mungkin Umno dapat rampas Kelantan daripada PAS sebab mereka tak ada isu penting yang dapat yakinkan rakyat sehingga mahu menukar kerajaan yang ada sekarang.
"Masih banyak perkara yang mereka perlu pelajari jika nak rampas Kelantan, bagi saya... buat masa ini mereka belum layak lagi ambil alih Kelantan," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa parti itu akan memberi tumpuan khusus terhadap 23 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 45 kerusi dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada PAS pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Mustapa dilaporkan berkata keyakinan untuk menawan Kelantan adalah berdasarkan perubahan yang berlaku di peringkat akar umbi kini seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil DUN Galas dan Manek Urai.
Bagaimanapun Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku berkata, pihaknya sememangnya menyedari mengenai kerusi DUN yang menjadi sasaran Umno dalam usaha merealisasikan matlamat berkenaan.
"Kita tahu kerusi mana sasaran Umno, mereka sasarkan kerusi DUN yang PAS peroleh majoriti kurang daripada 1,000 pada pilihan raya yang lalu.
"Tapi kita juga akan berusaha keras untuk memastikan PAS terus mengekalkan penguasaan di Kelantan," katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, dakwaan Umno bahawa angin perubahan di kalangan rakyat semakin ketara berdasarkan keputusan pilihan raya kecil DUN Galas dan Manek Urai tidak boleh dijadikan kayu ukur.
Menurutnya, situasi pada pilihan raya kecil dan pilihan raya umum mempunyai banyak perbezaan terutamyanya dari segi jentera pilihan raya yang digunakan Umno.
"Tak mungkin Umno dapat berikan tumpuan yang khusus pada sesuatu kawasan sewaktu pilihan raya umum.
"Malah mereka harus ingat bahawa PAS juga pastinya ada strategi sendiri untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit sebelum pilihan raya umum akan datang," katanya yang juga ADUN Pasir Pekan.
Manakala Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata sasaran Umno itu hanya sekadar 'matlamat atas kertas' yang mustahil direalisasikan.
"Jika nak dibandingkan kedudukan Umno sekarang ini yang hanya memperolehi enam kerusi di DUN Kelantan, bagi saya matlamat mereka itu hampir mustahil untuk dicapai.
"Kedudukan itu terlalu jauh jika nak dibandingkan dengan kedudukan PAS di Kelantan," katanya yang juga Adun Panchor.
No comments:
Post a Comment