Perkasa mendakwa kaum-kaum pendatang generasi pertama ke negara ini tidak membawa banyak masalah kepada orang Melayu berbanding generasi semasa — gambaran yang dilihat akan membawa satu lagi keadaan kurang senang di kalangan orang Cina dan India.
Ketua Penerangan Perkasa Ruslan Kasim berkata, pada peringkat awal kemasukan kaum-kaum pendatang ke Tanah Melayu dahulu, “tidak banyak berlakunya pergeseran kaum dan pencerobohan hak-hak orang Melayu”, justeru mereka tahu untuk menjaga batas dan menghormati orang-orang Melayu.
“Sedikit sebanyak adab sebagai orang imigran dijaga kerana mereka, sama ada secara terpaksa atau tidak, menghargai sikap ‘lunak terima’ orang Melayu terhadap kedatangan mereka.
“Generasi pertama kaum imigran adalah generasi yang agak kurang memberi masalah kepada orang Melayu,” kata beliau.
Katanya, pergeseran mula berlaku setelah kaum pendatang generasi pertama tersebut memperoleh hak kerakyatan, pegangan ekuiti dan pemilikan sumber ekonomi.
Tulisan Ruslan dalam akhbar dwimingguan ‘Suara Perkasa’ edisi 3 Januari, di bawah tajuk “Pemerkasaan Maruah Bangsa Melayu, Sekilas Lintas Sejarah Tanah Melayu” menekankan, keadaan tersebut mengalami perubahan dan mula memberikan masalah selepas negara mencapai merdeka dan kedudukan ekonomi kaum imigran berubah.
Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan lahir dua tahun lalu selepas perubahan landskap politik negara ini dan muncul sebagai suara lantang mahu memperjuangkan hak kaum Bumiputera dan Melayu.
Sesetengah pihak termasuk pemimpin Barisan Nasional pernah menggambarkan ia sebagai NGO rasis, tetapi pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas, Kelantan, menolak tanggapan sedemikian.
Perkasa juga mempertahankan pihak-pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur rasis ke atas orang Cina dan India, yang pernah disifatkan sebagai “pendatang.”
Kata Ruslan, keadaan ini wujud mungkin kerana pada waktu itu mereka terpaksa menumpukan perhatian kepada soal-soal asasi mereka seperti mendapatkan tempat tinggal, mengembangkan aspek perniagaan dan terbukanya peluang dominasi ekonomi di wilayah baru, masalah kewarganegaraan, akomodasi dalam arus politik perdana Tanah Melayu, ketakutan mereka untuk pulang ke China akibat suasana politik di sana yang lebih menekan, jerih dan tidak menentu lalu melihat Tanah Melayu lubuk yang lebih selesa bagi mereka mengaut untung serta gejala ledakan kependudukan dan eksodus orang-orang China dari tanah Besar mereka.
“Namun, senario ini berubah setelah mereka memperoleh hak kerakyatan, pegangan ekuiti dan pemilikan sumber ekonomi yang semakin mencengkam, perkara-perkara tersurat yang termaktub dalam perlembagaan yang boleh diberikan tafsiran semula dan dieksploitasi untuk lebih menghimpit orang Melayu serta beberapa perkara lain yang membuka ruang untuk mereka “menangguk di air yang keruh.”
Justeru katanya, gelagat beberapa pemimpin bukan Melayu termasuk Lee Kuan Yew mempertikaikan kedudukan istimewa orang Melayu membawa kepada krisis kepentingan dan konflik kaum yang jelas menunjukkan perubahan dan pendirian kaum imigran terhadap bangsa pribumi Tanah Melayu.
“Rentetan dari itu, ultimatum penyingkiran Singapura dilaksanakan walau ia merugikan bangsa Melayu sendiri dan menghakis wibawa dan maruah mereka di mata dunia, sedangkan wabak penyakit ‘lupa daratan’ dan virus ‘melepaskan anjing tersepit’ ini boleh dibendung sekiranya kerajaan pada waktu itu melaksanakan ‘political sanction’ atau sekatan politik melalui perisytiharan darurat, menyumbat petualang negara ke dalam penjara melalui pendekatan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan mengerahkan angkatan tentera untuk bertindak,” katanya.
Ruslan juga menulis, agenda menggoncang sendi-sendi bangsa Melayu disemarakkan lagi dengan kenyataan Dr Tan Chee Koon, ketika itu yang memimpin Parti Buruh, yang mengkritik kerajaan tentang rancangan pendidikan dan sikap berat sebelah yang kononnya memberi kelebihan kepada anak-anak Melayu, tentang Maktab MARA dan sebagainya.
“Pendekatan yang agak komunal dengan mengemukakan statistik yang tidak tepat (perbandingan di antara pelajar Melayu dengan bukan Melayu dalam kursus-kursus profesional di IPTA) bukan saja boleh menimbulkan dan membakar semangat kebencian antara kaum, bahkan ia boleh juga disifatkan sebagai jenayah politik yang sangat merbahaya pada waktu itu,” katanya.
“Rata-rata di kalangan mereka tidak dapat merasai pengalaman seperti yang dialami oleh generasi pertama mereka justeru berada di dalam zon selamat setelah perkara-perkara asas yang mereka perlukan sebahagian besarnya diperolehi.
“Mereka semakin lantang menyuarakan protes terhadap segala dasar kerajaan yang dianggap sebagai ‘Malay bias’,” tambah Ruslan.
Beliau juga mempersoalkan sama ada perubahan yang dibawa kaum imigran ini mampu memelihara semangat perpaduan seterusnya membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu di negara ini.
“Persoalannya apakah perubahan sikap dan pendirian kaum imigran terhadap orang Melayu itu menjadi bertambah baik dan usaha pemupukan perpaduan kaum meningkat?
“Apakah semangat kontrak sosial masih utuh terpelihara dan sebarang langkah membantu orang Melayu dan bumiputera bebas dari belenggu kemiskinan tidak dilihat sebagai tindakan rasis?” katanya,
Ruslan juga membangkitkan peranan DAP, salah satu komponen Pakatan Rakyat, dalam tulisannya kali ini.
“Apa yang nyata ialah asakan dan tuntutan mereka semakin menjadi-jadi serta menampakkan kegilaan yang sukar dibendung, apatah lagi warna perkauman DAP terutamanya, yang amat pekat itu kini dicairkan oleh penglibatan dan sokongan sebilangan orang Melayu yang lupa di mana bumi dipijak dan tempat langit dijunjung,” soal Ruslan, pemimpin dari Negeri Sembilan yang pernah menganggotai Umno dan Parti Keadilan Rakyat
No comments:
Post a Comment