Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru rakyat supaya menghayati sejarah kehidupan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang meletakkan kepentingan kesatuan dan perpaduan di kalangan manusia sebagai asas kecemerlangan dan pemangkin khaira ummah (umat yang berkualiti dan baik).
Baginda bertitah usaha untuk menyatupadukan masyarakat adalah usaha yang berterusan sejajar dan bertepatan dengan tuntuan serta cabaran pada alaf ke-21 ini. “Oleh yang demikian, segala dasar dan polisi yang dirangka ke arah menjadikan negara ini dan seluruh rakyat sebagai komuniti negara maju pada masa hadapan tidak akan tercapai jika aspek kesatuan atau perpaduan ini diambil ringan semua pihak.
“Apabila sebahagian umat manusia dijangkiti sikap tamak dan mementingkan diri serta tidak lagi mempedulikan nilai-nilai mulia dalam mengejar kepentingan duniawi, maka berlakulah pelbagai bentuk malapetaka dan kemusnahan yang menimpa hidup manusia lantaran kemurkaan Allah S.W.T,” titah baginda.
Tuanku Mizan bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka sebentar tadi.
Daulat Tuanku
ReplyDelete