23 March 2009

Politik Indon : Golkar & PDI-P bergabung


JUSUF (kanan) dan Megawati memegang dokumen selepas mereka mengadakan pertemuan di Jakarta pada 12 Mac lalu mengenai kemungkinan Parti Golkar dan PDI-P membentuk perikatan untuk menghadapi Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada pilihan raya Indonesia pada tahun ini. – AFP

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla hari ini menyuarakan kemungkinan Parti Golkar yang memerintah membentuk perikatan dengan parti pembangkang utama, Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas Presiden, Megawati Sukarnoputri.

Jusuf, bagaimanapun mengakui perkara yang boleh menjadi halangan ialah pemimpin kedua-dua parti mempunyai cita-cita untuk menjadi Presiden negara ini.

Pemimpin parti-parti politik mengadakan perbincangan mengenai prospek membentuk perikatan menjelang pilihan raya Parlimen pada 9 April ini dan pilihan raya Presiden pada 8 Julai.

Jusuf yang merupakan Pengerusi Parti Golkar dan Megawati mengadakan pertemuan di Jakarta pada 12 Mac lalu bagi meninjau kemungkinan membentuk perikatan antara Golkar dengan PDI-P.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mengetuai Parti Demokrat bergantung kepada sokongan Golkar pada masa ini.

Oleh sebab itu, sebarang perikatan antara Golkar dengan PDI-P akan memaksa beliau meraih sokongan parti-parti kecil berhaluan Islam pada pilihan raya tahun ini.

“Dari segi politik, segala kemungkinan boleh berlaku tetapi ini akan bergantung kepada situasi dan perjanjian yang perlu dicapai,” kata Jusuf semalam apabila ditanya pada satu wawancara mengenai peluang terbentuknya perikatan Golkar-PDI-P.

Pada bulan lepas, Jusuf yang mengumumkan kesediaannya untuk mencabar Susilo pada pilihan raya Presiden menggambarkan rundingan dengan Megawati baru-baru ini bertujuan untuk “membuka saluran komunikasi politik.”

Beliau bagaimanapun berkata, cita-cita beliau sendiri dan Megawati untuk menjadi Presiden boleh menimbulkan halangan.

“Perkara ini sukar untuk kami bangkitkan kerana kami ada rancangan untuk menjadi calon Presiden.

“Kerana itu sukar untuk salah seorang menjadi calon Naib Presiden bagi seorang lagi,” kata Jusuf yang bercakap di Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan. – Reuters

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini