25 April 2009

Masih ada org PAS buat kerja bodoh

oleh Nik Abduh Nik Abd Aziz

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Nik Abduh Bin Abd Aziz ialah exco pemuda PAS Pusat

1 comment:

  1. Nik Abduh Tak Faham Penerangan Ayahandanya

    Saya membaca artikel Ustaz Nik Abduh yang terbaru bertajuk ” kerja - kerja bodoh dalam pas”.

    Saya merasa terpanggil untuk menjawab beberapa hujjah yang dilayangkan oleh beliau semoga semua pembaca mendapat penilaian yang seimbang dalam isu ini. Dan semoga kita dapat menilai isu ini dengan akal yang rational.

    Saya bersyukur kerana Mursyidul Am PAS adalah Tok Guru Nik Aziz dan bukannya Ustaz Nik Abduh. Ini kerana melihat cara pemikiran beliau berpotensi untuk menghancurkan PAS seluruhnya.

    Nik Abduh (NA) berkata:

    ”Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

    Apa yang Nik Abduh tak faham dari jawapan ayahandanya adalah jangan haraplah UMNO akan ”bermain bersih” walaupun Kerajaan Nasional(Perpaduan) berjaya ditubuhkan.

    Apa yang UMNO akan buat ialah mereka akan mengekalkan kekuasaan mereka ke atas Kementrian2 yang strategik dan penting di masa yang sama parti2 lain akan memegang portfolio yang kurang strategik. Kalau tidak mereka tidak akan bersetuju untuk menubuhkan kerajaan ini.

    Bila masa yang sesuai, UMNO akan menggunakan kekuasan fizikal mereka untuk menghancurkan kita. Itu pasti dan itulah hujjah utama di belakang jawapan Ayahanda kamu seperti diatas yang kamu tidak mampu memahami lagi.

    Mampukah Nik Abduh Memberi Jaminan?

    Apakah beliau lupa ayahandanya ada semasa UMNO menikam PAS dari belakang. Ayahanda beliau lebih kenal UMNO ini berbanding dengan beliau. Bak kata orang terkilas ikan di air, tau jantan betinanya. Begitulah dalam pengetahuan berkenaan UMNO yang terkandung dalam minda Tok Guru Nik Aziz. Pendek kata, segala ”trick” UMNO itu ada dalam poket Tok Guru Nik Aziz.

    Yang lagi baik, bolehkah Nik Abduh memberi jaminan bahawa di dalam Kerajaan Nasional (Perpaduan) ini, UMNO tidak akan menipu? Kerana dahulu semasa PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional PAS telah ditipu hidup2 walaupun sebelum itu UMNO telah menjanjikan berbagai-bagai perkara.

    Apa makenisme yang boleh menghalang PAS dari ditipu dalam kerajaan perpaduan tersebut? Mahkamah? Polis? Tentera? SPRM? Bomoh?

    Tidak ada.. kerana UMNO akan memastikan semua alat kekuasaan kekal di dalam tangan mereka walaupun sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan.

    Dalam kes Perak kita lihat bagaimana Istana, Mahkamah, SPR, Polis, Tentera dan PEKIDA digunakan dengan jayanya untuk mengkhianati PAS. Ertinya, tiada yang haram bagi UMNO. Segalanya halal dan mereka tidak ada belas ehsan didalam menghancurkan musuh mereka.

    Jangan merendah-rendahkan taraf pemikiran Tok Guru Nik Aziz

    Nik Abduh menulis:

    ”Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

    Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!”

    TGNA mempunyai sifat kepimpinan dan kepintaran di dalam politik yang amat tinggi. Dan penasihat-penasihat TGNA tidak akan mampu untuk menipu TGNA dengan memberikan nasihat-nasihat yang bertaraf rendah. Mustahil Tok Guru Nik Aziz menyalah-fahami konsep sebenar Kerajan Perpaduan ini kerana ayahanda kamu ini seorang yang teliti dan mampu membuat penilaian yang baik.

    Dengan membuat kenyataan di atas, Nik Abduh seperti berkata bapanya seorang dunggu yang tidak mampu berfikir sendiri. Mudah menerima cakap penasihat-penasihat beliau tanpa usul periksa.

    Apa Nik Abduh ni hebat sangat ke sampai lupa bahawa TGNA telah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 4 penggal berturut2. Tiga Presiden UMNO telah berlalu namun TGNA masih kekal sebagai MB Kelantan.

    Juga, TGNA adalah tokoh nasional yang paling popular sekarang ini melebihi Dr.Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi ataupun Najib Tun Razak?
    Adakah tokoh seperti ini boleh dikatakan dunggu sehingga tidak mampu membezakan antara nasihat yang baik dengan nasihat yang tidak baik?

    Berhentilah menyalahkan penasihat-penasihat Tok Guru. Kalau hujjah kamu kuat dan padat nescaya ayahanda kamu akan mendengar nasihat kamu.

    Nik Abduh Nak Suruh Kerjasama Dengan Kerajaan Zalim?

    Nik Abduh menulis lagi:

    ”Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

    Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.”

    Di sini saya berani kata Nik Abduh ni ”naive”.Kenapa saya kata begini? Walaupun kedua-dua kerajaan ini dipandang bukan kerajaan Islam, tapi satu kerajaan ni zalim dan satu tidak.

    Bukti kezaliman BN ini terlalu banyak. Suka saya ambil contoh satu sahaja yang melibatkan abang saudara, Nik Adli.

    Kerajaan Malaysia telah menahan beliau dibawah ISA atas arahan Amerika dengan alasan untuk menentang keganasan. Padahal, dosa Nik Adli hanyalah kerana beliau pernah berjihad di Afghanistan sewaktu CIA menyokong serta membekal senjata kepada Mujahiddin Afghanistan.

    Pada waktu yang sama, Najib Tun Razak telah pergi ke Amerika dan berucap di Heritage Foundation di mana beliau dengan bangga menyenaraikan kesemua bantuan dan kerjasama kerajaan Malaysia dengan Amerika.

    Antara ucapan beliau adalah:

    "Some 62 terrorists and militias with global and regional links have been arrested under our Internal Security Act, and more are currently being hunted down."

    Beliau begitu berbangga dengan penangkapan tersebut. Dah lah tangkap tu sendiri zalim, boleh berbangga dan menunjuk kepada Amerika pula tu.

    Beliau dilaporkan sehingga berkata:

    ” The United States has excellent access to Malaysian intelligence.” (Amerika mempunyai capaian yang amat baik kepada maklumat perisikan Malaysia).

    Begitu komitednya Malaysia kepada Peperangan Terhadap Keganasan anjuran Amerika dan Bush.

    Menahan orang yang tidak berdosa seperti Nik Adli adalah terlalu kecil berbanding dengan senarai kerjasama yang diberikan oleh UMNO/BN kepada Amerika. Bacalah ucapan Najib Tun Razak itu di sini dan buat penilaian sendiri.

    Dengan kata lain, walaupun kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN tidak ”islamik” tetapi sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat tidak zalim, tidak pernah mengkhianati PAS hatta DAP dan tidak korup.

    Ertinya, Islam lebih terjaga dan terpelihara di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

    Begitu dangkal sekalikah tahap penilaian Ustaz Nik Abduh dalam perkara ini?

    Siapa Sebenarnya Yang Bodoh?

    Saudara/ri pembaca buatlah penilaian sendiri. Cumanya saya nak dedahkan bahawa Ustaz Nik Abduh adalah antara yang terlibat dalam perjumpaan yang saya laporkan tempohari dalam artikel saya bertajuk "Roslan SMS Harus Nafi Cerita Ini!!!!

    Nasihat saya, siapa yang teringin nak masuk UMNO, silalah masuk UMNO. Jangan bawa PAS bersama.

    ReplyDelete

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini