20 April 2009

SPR kena buat 'Road Block' halang penyokong

Pakatan Rakyat menolak cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu mengehadkan parti-parti politik daripada membawa penyokong yang terlalu ramai pada hari penamaan calon dan hari pengundian.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang dihubungi nyata tidak bersetuju dengan cadangan tersebut serta menyifatkan langkah mengehadkan kehadiran jumlah penyokong calon-calon yang bertanding adalah tidak praktikal.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, syor sedemikian adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan kerana sesebuah parti politik yang terlibat juga sukar untuk menyekat kahadiran ahli dan penyokong mereka.

"Bagi pihak PAS kami tidak nampak langkah yang disyorkan itu adalah sesuatu yang praktikal.

"Susah bagi kita nak mengawal kehadiran orang awam pada hari penamaan calon ataupun hari pengundian," katanya.

Jumaat lalu Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, mesyuarat Rabu ini turut akan mencari penyelesaian bagi mengelakkan kehadiran ramai penyokong di pusat pengundian hingga menyukarkan pihak polis untuk mengawal keselamatan orang ramai.

Tambah Kamaruddin, SPR tidak boleh menghalang orang ramai untuk berkumpul di tempat awam manakala faktor keselamatan kawasan penamaan calon ataupun pusat-pusat mengundi sememangnya di bawah tanggungjawab pihak polis.

"Kita tak boleh halang orang masuk ke bandar atau ke kawasan sekitar tempat penamaan calon mahupun tempat mengundi.

"Lagipun kalau SPR fikirkan soal keselamatan seperti kebiasaannya pihak polis akan mengawal di sekitar tempat-tempat berkenaan.

"Kehadiran penyokong hanya berkumpul di luar kawasan berkenaan... jadi apa masalahnya di situ?" katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, mengehadkan kehadiran jumlah penyokong seperti yang disyorkan SPR nyata tidak wajar dilaksanakan.

"Kami (PKR) tidak bersetuju dengan saranan sedemikian, cadangan ini memang sukar untuk dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun jelas, beliau perkara tersebut terpulang kepada SPR untuk mempertimbangkannya.

"Terpulang kepada mereka nak buat macam mana, kalau mereka mampu nak kawal kehadiran penyokong, mereka buatlah.

"Tapi kami sebagai parti politik memang tidak berupaya untuk sekat kehadiran penyokong," katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini