21 September 2009

BERAYA DI KAMPONG...

Assalamulaikum WBT

Pagi 19hb Sept, sebaik sahaja solat subuh, saya bersama anak bongsu dan pembantu rumah bertolak balik ke Kedah. Saya memang menyiapkan minda untuk perjalanan yang akan mengambil masa yang lebih lama.

Namun jangkaan saya meleset. Ia mengambil masa yang sangat lama. Dari Rawang hingga melepasi terowong di Ipoh, ia mengambil masa selama 4 jam!! Sepatutnya jika semua pemandu bersabar, dan jika terpaksa memandu pada kadar 80km sejam pun, perjalanan untuk melepasi Ipoh hanya akan mengambil masa 3 jam sahaja. Ia benar menguji kesabaran.

Yang lebih membimbangkan bila panduan terlalu perlahan, mata mulalah mengantuk. Yang menyakitkan hati, ialah pemandu-pemandu yang tidak berhemah menggunakan lorong kecemasan dan kemudian memintas dihadapan menyebabkan pemandu di lorong-lorong disebelah kanan terpaksa mengalah.

Saya menelefon pihak polis 3 kali meminta mereka berbuat sesuatu. Dari Rawang ke Ipoh tidak nampak seorang pun anggota polis trafik. Hanya setelah sampai ke Sungai Perak, baru ada polis trafik di situ. Hanya selepas itu barulah kenderaan bergerak agak laju.

Memang kalau tidak puasa lah, pemandu-pemandu yang memotong que sudah kena sumpah dek YB gedembai ni.. Hati ini bersorak apabila melihat salah seorang pemandu yang menggunakan lorong kecemasan di saman polis. Astaghfirullah....... I am only human

Tahun ini keluarga saya berpecah empat menyambut Hari Raya.

Suami saya bersama anak perempuan ketiga yang sedang mabuk mengandung beraya di Kuala Lumpur bersama ibu mertua saya. Anak perempuan sulung pula sarat mengandung beraya dengan keluarga suaminya di Hulu Langat.

Dua orang anak lelaki yang masih menuntut beraya di Dublin. Memadailah dengan diwakili anak kedua yang balik beraya dengan Tok Wannya di kampung. Sebelum ini setiap tahun, semenjak saya mula bekerja, saya balik beraya di Kedah.

Tahun lepas, walaupun bonda tersayang sudah tiada lagi, saya masih pulang. Tahun ini oleh kerana memikirkan ayah saya sudah ada pengganti ibu, saya ingat hendak beraya di rumah sendiri dan bersama keluarga suami pula. Tapi beberapa hari sebelum Syawal, hati ini teringat sangat kepada ayah yang semakin uzur.

Mak Chik mengatakan yang ayah tidak dapat beriktikaf di masjid diwaktu malam seperti yang dia lazim lakukan. Selepas berbuka dia akan tidur dulu dan kemudian baru bangun solat isya' dan terawih dan kemudian bertahjud di rumah sahaja. Ayah begitu keletihan Ramadhan ini. Hati tidak sedap.

Takut tidak dapat berjumpa ayah semasa dia masih ada. Lalu saya meminta izin daripada suami untuk pulang juga. Ibu mertua pun semakin uzur, bapa mertua sudah lama tiada, jadi kami bersetuju masing-masing beraya dengan ayah dan ibu sendiri.

Saya sendiri tidak tahu yang saya begitu letih. Selepas berbuka puasa dengan ayah dan mengetahui Hari Raya confirm esoknya, saya tertidur.

Bila terjaga pukul 5 pagi, saya melihat berpuluh-puluh sms yang masuk. Memang semuanya mengucapkan Selamat Hari Raya. Saya tidak sempat membalas semuanya. Sepanjang Hari Raya pertama dan hari ini sms diterima tidak henti-henti. Saya tidak terdaya untuk membalas kesemuanya. Sekarang ini pun masih ada sms yang belum sempat saya baca. Saya memohon maaf kepada sahabat yang menghantar sms-ada yang dikenali dan ada yang tidak.

Kepada semua saya mengucapkan jazakallahukhairan kathira di atas ingatan dan doa anda sekelian. Izinkan saya mengucapkan kembali Selamat Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin serta maafkan saya jika tidak dapat membalas sms anda. Saya perlu mencari mekanisme yang lebih canggih di masa hadapan bagaimana hendak membalas sms yang begitu banyak.

Selepas solat Raya, saya ke rumah mak chik berjumpa ayah untuk mengucapkan selamat tinggal. Lega melihat ayah segar di pagi Raya. Namun hati begitu sayu hendak meninggalkan ayah. Setelah masuk kereta, saya turun semula berjumpa ayah sekali lagi. Rasa tidak puas bersama dengan ayah. Saya memeluk dan mencium ayah . Saya tidak pernah memeluk ayah begitu. Saya takut kehilangan ayah.

Bonda ke rahmatullah semasa saya sibuk dengan PRK Permatang Pauh. Semoga Allah SWT panjangkan umur ayah di dalam kesihatan serta kebajikan. Amin.... Ya Mujiib, Ya Wahhaab

Selepas ke kubur bonda serta menziarahi ibu saudara dan nenek saudara, saya bertolak balik ke KL. Alhamdulillah, perjalanan balik lancar. Walaupun penat, hati rasa puas kerana hajat di hati tercapai.

Saya harap anda pun merasa bahagia beraya kali ini :-)

Dr Siti Mariah Mahmud

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini