Proses kajian terhadap cadangan penerimaan bukan Islam untuk menjadi ahli PAS masih belum siap sepenuhnya.
Jawatankuasa teknikal yang turut di anggotai mereka yang pakar berhubung perlembagaan PAS, masih lagi meneliti semua aspek khasnya pindaan terhadap perlembagaan parti. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, penelitian sedang dibuat secara serius menjurus kepada semua aspek dan memerlukan sedikit masa untuk membuat keputusan. Sehubungan itu, semua pihak katanya diminta bersabar dan tidak memberi sebarang tekanan kepada jawatankuasa tersebut.
"Secara formal biarlah kajian ini selesai dahulu dan jawatankuasa PAS Pusat akan membawa kepada majlis ulama' untuk membuat keputusan yang sebaik mungkin," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan berhubung tempoh kajian yang dianggap terlalu lama.
"Tidak timbul masa yang diambil terlalu lama dalam hal ini,walaupun masih belum diterima sebagai ahli namun segala hal yang berkaitan dengan mereka ini disalurkan melalui Kelab Penyokong PAS dan kita sentiasa menerima pandangan dari kelab tersebut," ujar beliau lagi.
Gesaan supaya bukan islam diterima sebagai ahli penuh PAS mula berbangkit selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum PRU Ke-12 tahun lalu. Keputusan PRU itu juga memperlihatkan fenomena baru dalam PAS apabila parti Islam itu mendapat sokongan besar dari orang bukan Islam.
Antara lain ianya berpunca dari sikap keterbukaan parti itu, dan kejayaan Kelab Penyokong PAS KPP yang ditubuhkan. Malah pada pilihanraya itu juga, seorang ahli KPP ingin bertanding atas tiket PAS di Johor tetapi gagal, sebaliknya setelah perundingan, anggota itu dibenarkan menggunakan lambang PKR.
Gesaan demi gesaan itu akhirnya menampakkan hasil apabila kertas perlaksanaannya diluluskan parti sewaktu sesi 'retreat' pimpinan parti itu di Langkawi tahun lalu. Setakat ini ahli KPP yang terdiri dari kaum Cina dan India mencecah 20, 000 ahli di seluruh negara.
Muktamar PAS ke-54 di Shah Alam Jun lalu turut meluluskan usul untuk mengangkat KPP menjadi satu dewan yang setaraf dengan Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dalam organisasi parti tersebut.
Satu jawatankuasa teknikal juga telah dibentuk, dan sedang bekerja keras melakukan persediaan bagi merialisasikan perkara tersebut.
No comments:
Post a Comment