20 May 2010

Melurusi Perjalanan 'KPP' & 'DHPP : 2004~2010

LATARBELAKANG

PAS sebagai parti yang menjadikan Islam sebagai dasar dari sudut falsafahnya menolak sebarang perjuangan yang berteraskan perkauman. Sepanjang penglibatan PAS di pesada politik tanahair PAS tidak dikategorikan sebagai parti rasis kerana nama Islam itu sendiri menggambarkan kesejagatan falsafah perjuangan PAS. 

Atas kewajaran ini, PAS mengorak langkah untuk menyonsong arus politik negara yang berdiri atas iklim politik perkauman dengan memperkenalkan CCC iaitu Chinese Consultative Council pada pertengahan 80an bagi memecah tembok perkauman yang selama ini menghalang suara Parti Islam itu untuk menjangkau kepada
masyarakat selain daripada orang-orang Melayu. 

Hasilnya suara PAS mula kedengaran di ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh persatuan Cina di premis-premis Tokong mereka dan dewan-dewan Cina. Sejak dari saat itu usaha mendekatkan jurang dengan kaum lain dalam usaha Pas untuk menjadi multiracial bukan sahaja retorik falsafah tetapi diterjemahkan dalam bentuk pendekatan strategic. 

Usaha pertengahan 80 an ini juga adalah sesuatu yang berani kerana bagi organisasi PAS sendiri ianya bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh ahli. Pada penghujung 90an Jabatan Antara Budaya ditubuhkan bagi mencapai hasrat yang sama supaya perjuangan PAS dapat diterima oleh masyarakat berbilang bangsa. 

Walaupun pada peringkat awal hanya orang Cina yang nampaknya lebih berminat untuk mengenali PAS tetapi pada tahun 2004 ambang PRU ke 11 satu entiti baru mula disebut oleh Pemangku Presiden Pas ketika itu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

Nama yang baru pertama kali disebutkan itu ialah Kelab Penyokong PAS yang diharapkan menjadi wahana penting meneruskan kesinambungan menggapai dan mencapai sokongan bukan Melayu. Nama Kelab Penyokong PAS atau ringkasnya KPP sejak dari itu menjadi sebahagian daripada komponen strategik parti. 

Hari ini KPP menempa sejarah apabila entiti parti ini dipertingkatkan peranannya dengan parti memberi pengiktirafan kepada KPP melalui penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang dipandu oleh Aturan dan Peraturan. Aturan dan Peraturan DHPP mendapat pengiktirafan PAS Pusat dengan kuasa 26 (9)
(g) dan (h).

MELUSURI PERJALANAN

Di ambang PRU ke 11 Oktober 2004, Kelab Penyokong PAS diistyharkan sebagai satu usaha untuk menggapai sokongan bukan Melayu kepada PAS. Dalam usianya yang muda KPP masih mentah untuk diterima oleh masyarakat bukan Melayu namun berbekalkan semangat danazam KPP mengorak langkah. 

Keputusan 2004 tidak banyak membantu peningkatan kerusikepada Barisan Alternatif (BA) ketika itu. Selesai PRU ke 11, KPP menggiatkan aktiviti awalmelalui dialog dan perbincangan kecil-kecilan dengan Persatuan-Persatun Cina dan parawartawan dan kumpulan akademik. Tujuan dialog ini adalah untuk mengenengahkan PAS kepadamasyarakat bukan Melayu yang selama ini mempunyai persepsi yang negatif kepada aspirasi danperjuangan PAS. 

KPP terus mara dengan wahana dialog dan mula mendapat perhatian. Mulai daripada itu KPP tidak menoleh ke belakang dan terus mara memperkenalkan PAS kepada masyarakat bukan Melayu.Pada tahun 2005 bulan Ogos, satu lagi pencapaian membangakan KPP dicatat denganpenubuhan KPP di kalangan Masyarakat India. 

Pengerusinya ketika itu telah menyebut sesuatu yang cukup signifikan bagi menggambarkan hubungan antara masyarakat India dan PAS dengan kata-katanya “Hari ini kita (masyarakat India) telah membina jambatan yang kukuh ke Bulan (dimaksudkan PAS)” KPP tidak lengkap tanpa penyertaan masyarakat lain yang membentuk negara ini, oleh itu pada tahun 2006, melalui inisiatif Lujnah Perpaduan Nasional KPP di kalangan masyarakat Iban berjaya ditubuhkan di 10 rumah panjang sekitar Batang Lupar.

Rombongan Lujnah Perpaduan bersama PAS Sarawak berjaya merentasi jalan yang berliku untuk memperkenalkan PAS kepada masyarakat Iban di sana. Kunjunagn Sarawak kali keduanya adalah juga kunjungan kebajikan di mana 10 orang doktor sukarela menyertai misi Lujnah memberikan perkhidmatan percuma di pendalaman Sarawak. 

Seterusnya nama KPP tersebar merentasi organisasi PAS dan negeri-negeri lain turut menjayakan misi menubuhkan KPP di tempat masing-masing. Masyarakat Siam tidak ketinggalan menjadi ahli KPP khusus di Kedah dan Kelantan pada penghujung tahun 2007 nama KPP menjadi sebutan di seluruh negara dan di kalangan organsiasi PAS ia menjadi tumpuan strategik utama untuk mengembangkan pengaruh PAS di kalangan bukan Melayu.
 
PAS FOR ALL
 
Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) adalah antara Lujnah parti yang bertungkus lumus membina infrastruktur KPP dan mempromosikannya kepada masyarakat bukan Melayu/Islam. Tidak cukup hanya dengan kewujudan KPP, LPN memperkenalkan satu slogan yang sinonim dengan PAS iaitu PAS FOR ALL. 

Menarik untuk dicatat di sini bahawa slogan ini dimenangi dalam satu pertandingan yang dianjurkan oleh LPN untuk mendapat satu slogan dan lambang bagi mempromosikan PAS sebagai parti yang mementingkan integrasi nasional. 

Pertandingan itu menerima banyak peserta dari seluruh dunia kerana diiklankan dalam internet. Jawatankuasa memilih akhirnya bersetuju dengan lambang dan logo PAS FOR ALL. 

Logo PAS For All berjaya menarik minat jawatankuasa kerana simboliknya melambangkan peranan PAS dalam negara ini berlatarbelakangkan bendera jalur gemilang dan simbol dunia bulat adalah satu realiti bahawa PAS adalah sebahagian dari kesejagatan ini. Manakala tulisan PAS for All dalam ketiga-tiga bahasa Malaysia, Cina, dan Tamil melambangkan kesatuan berbagai kaum di negara ini. 

Pada 11 Sept 2007, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Mursyidul Am PAS telah melancarkan logo dan slogan PAS For All di Pejabat Jalan Raja Laut dengan satu harapan bahawa PAS For All boleh diterjemahkan dalam bentuk komitmen PAS kepada Perpaduan Nasional di dalam negara ini.

Tanggal tersebut menjadi mercu tanda penting bagi PAS kerana kemudiannya PAS For All dan logonya diadaptasikan menjadi lambang yang dipakai di mana-mana malah ungkapan PAS For Alldijadikan tema ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS tahun2008 di Ipoh
.
HINDRAF DAN KAUM INDIA

Peristiwa HINDRAF pada 2007 telah membangkitkan kesedaran politik kaum India dan KPP waktu itu berada di persada untuk menyambut orang India dari exodus besar-besaran mereka daripada MIC. 

KPP yang telah sedia ada bahagian kaum Indianya mengorak langkah melebarkan sayapnya kepada kaum India. 

Di ambang PRU ke 12 sokongan India kepada PASmelalui KPP semakin meningkat hampir setiap malam LPN merasmikan penubuhan KPP di serata tempat khususnya Selangor, Perak dan Kedah dan Pahang. 

Selain PKR dan DAP orang India mengalihkan juga perhatian mereka kepada PAS dan KPP bersedia menampong kehadiran mereka. Dalam sekelip mata selepas peristiwa Hindraf bilangan ahli KPP kaum India mendadak dan tiba PRU ke 12 sokongan masyarakat India kepada Pakatan Rakyat meningkat dan hasilnya
 
Pakatan mendapat kemenangan yang memberangsangkan pada PRU ke 12. Di Parlimen Kota Raja, PAS kemenangan calonnya di mana peratus pengundi India 60% mengejutkan pemerhatipolitik tanahair. PAS berjaya membuktikan penerimaannya di kalangan masyarakat India.Walaupun KPP bukan satu-satu faktornya namun

KONVENSYEN KPP

KPP melalui LPN telah berjaya mengadakan dua konvensyen, Pertama ialah pada bulan Disember 2007 di mana Pulau Pinang menjadi tuan rumah. Konvensyen yang diadakan di Red Rock Hotel itu telah menarik minat seluruh ahli KPP khususnya dari Kelantan. 


Bertemakankan “Kerajaan berkebajikan untuk Semua” Konvensyen tersebut telah diresmikan oleh Timbalan Presiden dan menjadi sepak mula pada kehangatan PRU yang bakal diadakan pada awal tahun 2008. 

Konvensyen kedua ialah pada bulan Mei tahun 2009 diadakan di Kompleks Pejabat Tanah Kelang dengan tema “Stay United , Brave the Challenges telah diresmikan dengan ggilang gemilang oleh Mursyidul Am Pas. Hampir 1000 perwakilan hadir dan resolusi telah disepakati oleh semua perwakilan antaranya ialah. Menstrukturkan Semula Kepimpinan KPP, Mengemaskan Data Keahlian dan Memperkukuhkan KPP untuk dipertingkatkan peranannya dalam PAS. 

Resolusi Konvensyen telah diadaptasikan dengan bantuan seluruh LPN negeri sehingalah hari ini usaha-usaha tersebut terus dijalankan bagi membuka ruang kepada proses penyerapan KPP menjadi entiti sebuah Dewan dalam parti.

PROSES PENYERAPAN KPP MENJADI SAYAP PARTI
 
Perlu dijelaskan bahawa setelah PRU ke 12 perkembangan KPP begitu pesat dan sambutan untuk menambahkan bilangan KPP seluruh negara memberangsangkan. Dalam masa setahun lepas PRU baru-baru ini ahli KPP mencecah 20,000 ahli. LPN yang menjadi peneraju tidak mampu lagi menampong keahlian yang begitu ramai sedangkan LPN hanyalah Lujnah yang mempunyai bidang kuasa yang terbatas. 

Pemikiran untuk diserapkan keahlian bukan Islam ke dalam organisasi parti mula diperbincangkan secara serius. LPN diminta untuk membentang satu kertas kerja bertajuk “Keahlian Bukan Islam dalam Organisasi PAS” kertas dibentangkan dalam retreat parti di Langkawi bulan Disember 2008. 

Antara cadangan ialah bukan Islam menjadi ahli PAS, Mengekalkan entity KPP yang ada sekarang atau menubuhkan Dewan sebagai sayap baru parti untuk keahlian bukan Islam. 

Kesemua pilihan ini dibahaskan dan parti menerima secara dasar cadangan-cadangan LPN. Dalam mesyuarat PAS Pusat awal 2009, satu ketetapan dibuat untuk menubuhkan Jawatankuasa Teknikal bagi mencadangkan kepada PAS Pusat sebuah deraf Aturan dan Peraturan dewan baru yang akan ditubuhkan. 

Jawatankuasa Teknikal yangdipengerusikan oleh Ustaz Hassan Shukri dianggotai oleh Pengerusi LPN, dua peguam, seorang ulamak dan seorang Setiausaha Jawatankuasa. Setelah bermesyuarat beberapa kali satu deraf Aturan dan Peraturan bagi maksud menubuhkan Dewan baru telah dibacakan kali pertama dalam Mesyuarat dan Retreat PAS Pusat yang diadakan di Alor Setar, Kedah. 

Bacaan kali kedua dibuat pada mesyuarat bulan November 2009 setelah dibuat beberapa pindaan hasil cadangan-cadangan yang diberikan dan akhirnya mesyuarat AJK PAS Pusat pada 10 Jan 2010, meluluskan deraf Aturan dan Peraturan dan sekaligus menandakan kejayaan proses penyerapan KPP yang kini dikenali sebagai DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG PAS atau singkatannya DHPP.

HARAPAN Adalah menjadi harapan Presiden Parti dan seluruh kepimpinan PAS untuk melihat kelahiran DHPP akan melonjakkan PAS kepada satu lagi tahap dalam perjuangannya. Lonjakan ini menjadikan PAS kekal releven dalam melalui cabaran politik berbagai kaum di negara ini. 

Hasrat Presiden PAS ialah mahu melihat DHPP terus menjadi contoh perpaduan yang kukuh di kalangan ahlinya dan membuktikan bahawa PAS mampu menyatukan semua kaum di negara ini melalui DHPP. 

Walaupun hari ini menandakan kelahiran sebuah lagi sayap parti yang akan berperanan dengan penuh kesetiaan kepada parti namun cabarannya amatlah besar tetapi dengan perpaduan dan bimbingan seluruh organisasi PAS DHPP akan terus menyumbang untuk menyuburkan perjuangan PAS dan membuahkan hasil yang lumayan.

Disediakan oleh Dr Mujahid
Penasihat AJK Panitia Pelancaran DHPP
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat
20hb Mei 2010

No comments:

Post a Comment

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini