24 May 2010

PAS Perluas Perlantikan ADUN Bukan Islam


KLANG: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS akan terus merealisasikan peruntukan untuk melantik orang bukan Islam menganggotai Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Kerajaan Persekutuan. 

Ini kerana ketika beliau memerintah Terengganu wujud pindaan perlembagaan yang membolehkan orang bukan Islam dilantik menganggotai DUN sekiranya tidak berjaya dalam pilihan raya.

Prinsip tersebut juga mula diperkenalkan PAS ketika memerintah Terengganu antara tahun 1999 dan 2004. 

Menurut Hadi, langkah tersebut juga praktikal di negeri-negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Perlis memandangkan majoriti penduduk beragama Islam malah perwakilan bukan Islam di DUN berkenaan agak terhad. 

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PAS, menguasai lima negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. 

Mengulas mengenai negeri-negeri lain, beliau berkata ia masih bergantung antara satu negeri dengan negeri lain. 
“Itu bergantung pada kedudukan kerusi sesebuah negeri. Ia juga bergantung pada proses antara sebuah negeri dengan negeri lain,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Dewan Himpunan Penyokong PAS di sini petang tadi.

Ditanya tentang pemilihan calon bukan Islam dalam pilihan raya umum akan datang, Hadi menjelaskan bilangannya bergantung pada keperluan semasa nanti. 

Namun ketika ditanya mengenai kuota kepada bukan Islam, Hadi menjelaskan perkara berkenaan masih belum diputuskan. 

“Belum tahu lagi, (jumlah kerusi) untuk calon PAS pun belum tahu lagi, kita tidak tahu siapa yang akan bertanding. 

“Kita ada pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat. Dan, kita tidak mahu pertembungan antara parti Pakatan Rakyat, kami mahu bertanding dua penjuru sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini