20 June 2010

Dr Asri & 100 Ulamak akan sertai Umno?


Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin menjelaskan bahawa beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

"Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini," tulis beliau dalam blognya.

Mohd Asli membuat penjelasan tersebut ekoran laporan dalam Umno Online yang menyebut Dr Mohd Asri Zainal Abidin bersama 100 ulama berkelulusan tinggi, termasuk PhD akan menyertai Umno Jumaat depan.

Laporan itu memetik setiausaha kerja Umno, Datuk Ab Rauf Yusof yang menyebut bekas mufti Perlis itu dan ulama yang lain akan menyertai Umno menerusi Cawangan Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Umno Online memetik Ab Rauf memberitahu demikian ketika berucap di mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang semalam.

Menulis dalam blognya, Dr Mohd Asri berkata perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan.

"Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini.

"Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas," tambahnya.

Dalam laporan tersebut, Ab Rauf yang juga ketua bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu, dilaporkan memuji usaha Umno Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai parti itu.

1 comment:

Recent Posts

Recent Posts : Dr Siti Mariah

Popular Posts

Artikal pilihan hari ini